13 Mei 2015
Kemenangan 3-2 ke atas Barca di hadapan 70 000 penyokong sendiri tidak cukup untuk membawa pasukan gergasi Jerman ini berkunjung ke Berlin 6 Jun nanti.
Pep Guardiola mengekalkan skuad sama seperti pertemuan minggu lepas. Perlawanan dibuka dengan aksi pantas kedua-dua pihak. Bayern memperolehi gol pertama melalui tandukan Mehdi Benatia selepas 7 minit berlalu namun dibalas 8 minit kemudian oleh Neymar. Selepas Messi, giliran Suarez pula untuk membantu Neymar menjaringkan gol ke-2 Catalans di minit ke-29.
Pertahanan Bayern nampak begitu longgar kerana taktik perangkap ofsaid berjaya dilepasi oleh bahagian serangan Barca. Pep Guardiola masih belum belajar dari pengajaran minggu lepas di mana pertahanan Bayern yang naik ke atas untuk membuat perangkap ofsaid untuk Neymar dan Suarez tidak berjaya.
Jika dibandingkan dengan perlawanan dua tahun lepas yang menyaksikan Bayern berjaya mengekang serangan Barca, pertahanan Bayern ketika itu turut dibantu oleh seluruh pasukan. Perlawanan kali ini hanya melihat Boateng dan Benatia menjadi mangsa taktikal. Walaupun keberkesanannya dapat dilihat dalam banyak perlawanan sebelum ini, nyata ia tidak akan memberi kesan kepada pasukan yang memiliki penyerang pantas seperti Barcelona.
Bayern banyak melakukan cubaan merbahaya ke gawang lawan. Tandukan Schweinsteiger dan Muller, sepakan Lewandowski berjaya digagalkan oleh penjaga gol muda Jerman, Ter Stegen.
Serangan Barcelona menjadi tumpul di separuh masa kedua dengan Suarez dikeluarkan. Ini membuka peluang kepada Bayern mengatur serangan dengan lebih teratur. Bayern mula memanfaatkan Bernat dan Rafinha untuk membantu serangan dari tepi.
Lewandowski berjaya memperdaya pertahanan Barca dan melepaskan sepakan ke sebelah kanan gawang dari garisan kotak penalti. Gol kedua itu dihasilkan di minit 59. Muller pula meletakkan Bayern di hadapan di minit 74. Schweinsteiger bijak menyediakan bola untuk Muller melepaskan tendangan dari luar kotak penalti.
Memang kita dapat melihat kesungguhan pasukan untuk bangkit sehingga wisel penamat. Ternyata janji Muller untuk mempamerkan aksi terbaik telah terlaksana. Muller bersama Schweinsteiger menjadi penggerak serangan.
Muller kadang-kadang bertukar posisi ke sebelah kiri untuk menyediakan hantaran ke depan pintu gol. Schweinsteiger pula melebihi peranannya sebagai pemain tengah dan membantu bahagian serangan. Dan seluruh pasukan sebenarnya sudah bertungkus lumus.
Pada pandangan saya, kekalahan ini berpunca dari kesilapan taktikal yang sering membenarkan Suarez dan Neymar membuat larian pantas dan menjaringkan gol. Pasukan tidak bersatu dalam mempertahankan gawang dan menjadikan Boateng dan Benatia mangsa kehebatan trio Barca. 4 gol yang dihasilkan Barca berpunca daripada kelemahan ini.
Serangan Bayern walaupun tanpa Ribery dan Robben sudah mampu untuk meranapkan pertahanan Barcelona. Dalam perlawanan tadi, Bayern melancarkan 20 cubaan berbanding Barca 5. Kecekapan Ter Stegen nyata banyak membantu mereka. Saya yakin dia akan mempunyai peluang cerah bersama pasukan kebangsaan Jerman.
Bayern memiliki 53 % possession bola, 5 sepakan sudut, 8 cubaan tepat dan menyempurnakan 503 hantaran berbanding Barcelona, 401. Pemain terbaik perlawanan adalah Thomas Muller.
Pemain Terbaik Perlawanan |
Kemenangan Bayern ini telah menamatkan kemarau gol dan kemenangan dalam 4 perlawanan sebelum ini. Dan rekod Barcelona 18 perlawanan berturut-turut tanpa kalah telah dimusnahkan. Rekod Bayern yang sebelum ini belum pernah dikalahkan oleh Barcelona di Munich kekal.
Apa yang perlu Bayern lakukan selepas ini adalah menambah skuad dengan pemain-pemain sayap yang mampu menggantikan Robben dan Ribery. Pep juga perlu menilai kembali strateginya apabila bertemu pasukan hebat seperti Barcelona.
Pasukan ini akan bangkit dengan lebih kuat di musim hadapan |
Kelebihan Bayern adalah perpaduan dan keserasian mereka di atas padang bersama. Saya sangat yakin Bayern mampu bangkit semula untuk terus mengungguli bola sepak Eropah di musim hadapan.
No comments:
Post a Comment